Kita semua sedia maklum bahawa salah satu daripada usaha bagi mendapat, menambah ilmu dan sumber ilmu baru adalah menerusi pembacaan. Membaca turut dikaitkan dengan proses pembangunan masyarakat berfikir dan bernilai tinggi. Malah jelas terbukti dalam masyarakat hari ini bahawa individu yang berterusan membaca mempunyai personaliti yang dihormati dan berkualiti serta kaya dengan maklumat. Lebih tinggi nilai ilmu yang dimiliki seseorang, lebih tinggi hormat dan tanggapan masyarakat terhadapnya. Malah ilmu yang dimiliki boleh dimanfaatkan dalam proses pembangunan masyarakat dan Negara. Senario inilah yang menjadi pencetus kepada lahirnya Program NILAM di sekolah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Program NILAM atau Nadi Ilmu Amalan Membaca mula diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran pada tahun 1999 hasil keputusan mesyuarat Jawatankuasa Induk Gerakan Tabiat Membaca peringkat Kementerian Pelajaran pada tahun 1998. Surat Pekeliling Iktisas Bil 13/1998 mewajibkan semua sekolah melaksanakan program ini yang mempunyai hasrat murni mewujudkan budaya membaca dan budaya ilmu rakyat Malaysia. Selaku payung kepada pelbagai adunan aktiviti galakan membaca di sekolah, program ini dilaksanakan bermula dengan tahun 1 bagi sekolah rendah dan tingkatan 1 bagi sekolah menengah. Rekod pembacaan murid-murid ini diteruskan sehingga tamat persekolahan.
Di samping itu, ibu bapa digalakkan meluangkan lebih masa dalam menemani anak-anak membaca ,memilih dan membeli buku-buku yang sesuai supaya mereka boleh menanamkan hati suka membaca sejak kecil lagi . Guru-guru juga harus memainkan peranan penting dalam mendorong dan memupuk minat pelajar agar lebih membaca untuk memperolehi ilmu yang pelbagai.
Membaca memang mendatangkan banyak faedah kepada kita . Marilah kita sama-sama membina budaya membaca .
Cara-cara membina Budaya Membaca
di kalangan Pelajar :
Program i -Nilam
Meluangkan masa menemani anak- anak membaca
Guru-guru mendorong pelajar membaca
dan meneroka ilmu
Membaca dan berkongsi ilmu bersama rakan-rakan